120 Trak Makanan (Food Truck) hadir sepanjang penganjuran Sukan SEA 2017

Usaha ini dilihat dapat memberi manfaat kepada pengunjung untuk meluangkan masa bersama keluarga sementara menunggu jadual pertandingan sukan sempena Sukan SEA 2017.

seagames

Kuala Lumpur: Sepanjang penganjuran Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017), beberapa aktiviti turut dirangka khusus membabitkan orang ramai bagi memeriahkan lagi temasya sukan tersebut.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, semalam, mendapati kerja pembinaan giat dijalankan di satu kawasan berhampiran Stadium Nasional Bukit Jalil, dikenali sebagai ‘Rumah Malaysia’.

Difahamkan, tapak itu menjadi lokasi penganjuran karnival yang akan menyaksikan pelbagai aktiviti menarik terbuka kepada orang ramai.

Antara aktiviti yang bakal dijalankan adalah ‘outdoor gymnasium’, papan selaju, futsal dan pelbagai lagi pertandingan termasuk membabitkan aktiviti kanak-kanak.

Usaha itu dilihat dapat memberi manfaat kepada pengunjung untuk meluangkan masa bersama keluarga sementara menunggu jadual pertandingan sukan.

Selain itu, sebanyak 120 trak makanan (food truck) turut disediakan di sekitar kompleks sepanjang penganjuran KL2017.

Berbanding gerai, penggunaan trak makanan ini bakal memudahkan urusan penyelenggaraan termasuk penjagaan kebersihan sekitar stadium.

Sementara itu, pembinaan laluan berbumbung dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil ke semua stadium di Kompleks Sukan Negara juga dilihat dapat memberi keselesaan kepada orang ramai.

Orang ramai boleh datang ke stadium dengan selesa tanpa perlu memikirkan cuaca panas terik atau ketika hujan.

Turut disediakan kemudahan berbasikal di beberapa lokasi berhampiran Stadium Nasional Bukit Jalil dan Axiata Arena bagi memudahkan orang ramai beriadah atau bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.

Sumber: Hmetro.com.my

  • Recent Posts